am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kerajaan setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada penjawat awam yang mendakwa menerima tekanan daripada ahli politik berhubung pembabitan dalam politik.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa memantau perkara berkenaan dan percaya penjawat awam memahami peraturan yang mengikat mereka.
“Sehingga hari ini, kita tidak menerima apa-apa aduan daripada penjawat awam yang dikatakan menerima tekanan daripada ahli politik.
“Saya percaya penjawat awam faham mengenai peraturan yang mengikat mereka apabila dilantik dan Insya-Allah perkara ini tidak akan berulang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Larian MAPPA XXI Tahun 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Program larian dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan disertai kira-kira 13,000 peserta.
Khamis lalu, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, memberi jaminan kerajaan akan melindungi penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.
Ahmad Zahid menegaskan penjawat awam perlu terus melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan berkata, impak pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) akan dinilai selepas sebulan atau tiga bulan memandangkan tempoh pelaksanaannya masih terlalu singkat.
Beliau berkata, kira-kira 15,000 penjawat awam melaksanakan HBH setiap hari sejak ia mula berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.
Katanya, jumlah itu menunjukkan penerimaan awal yang baik terhadap pelaksanaan norma baharu pekerjaan dalam perkhidmatan awam.
“Tempoh pelaksanaan masih singkat menyebabkan impak HBH belum dapat dinilai secara lebih komprehensif.
“Kita akan melihatnya selepas sebulan ataupun tiga bulan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai impak pelaksanaannya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Jemaah Menteri bersetuju HBH dilaksanakan sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelaksanaan HBH membolehkan penjawat awam bekerja dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat, tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




