Polis ambil keterangan tiga individu berhubung dakwaan perkahwinan diraja Tengku Hassanal

Polis ambil keterangan tiga individu berhubung dakwaan perkahwinan diraja Tengku Hassanal

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Bentong: Polis sudah merakam tiga keterangan individu membabitkan laporan berhubung dakwaan seorang wanita yang kononnya akan melangsungkan perkahwinan bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tiga individu itu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara berkenaan, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih giat mengesan wanita yang dikenali sebagai Faridah untuk membantu siasatan lanjut dan turut meminta kerjasama individu berkenaan dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.

“Kita sedang mengesan wanita berkenaan dan (wanita yang dikenali sebagai) Faridah juga diminta tampil untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan lanjut.

“Kita juga minta kerjasama (mana-mana) pihak yang (mempunyai maklumat) mengenai Faridah untuk tampil dan perkara itu juga masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, polis masih giat mengesan wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Yahaya dilaporkan berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan akaun laman sosial wanita terbabit.

Selasa lalu Istana Pahang menafikan hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja membabitkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mej Datuk Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata, hantaran dimuat naik pengguna platform Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu menyaksikan wanita terbabit menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top