hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dipukul dengan teruk termasuk menggunakan perenjat elektrik, malah turut dipaksa makan tikus dan babi.
Itu penderitaan dialami bekas pengawal keselamatan yang mendakwa menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja sejak lebih lima bulan lalu.
Mangsa berusia 32 tahun kini ‘terperangkap’ di negara itu selepas terpedaya dengan tawaran kerja daripada seorang rakan yang dikenali melalui rakan sebelum dipaksa menjadi ‘scammer’ untuk sindiket penipuan pada Ogos lalu.
Ibu lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Sal, 54, berkata anaknya keluar rumah pada 31 Julai lalu untuk ke Sarawak bersama rakan dikenali melalui rakannya sebelum ditawarkan kerja di sebuah hotel di Kemboja dengan gaji RM5,000 sebulan.
Menurutnya, anak pergi ke Kemboja tanpa pengetahuannya sebelum menghubunginya untuk meminta bantuan menyelamatkannya daripada penyeksaan sindiket berkenaan.
“Anak mendakwa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dan menipu orang, malah mengakui tidak mahu melakukannya kerana tidak sampai hati menipu. Anak juga beritahu selalu dipukul, malah pernah ‘dibantai’ 10 orang dalam satu masa kerana ingkar arahan.
“Anak dipukul dengan teruk di seluruh badannya dan ada kesan luka di belakang badan, punggung dan kepala. Anak juga cakap dia diugut jika sehingga 31 Disember ini dia tidak berjaya melakukan kegiatan itu, dia mungkin akan dikurung dalam bilik gelap tanpa makanan.
“Anak kini dalam keadaan sangat lemah dan menunggu hari untuk dikurung dalam bilik gelap kerana dia masih kekal dengan prinsip tidak mahu menipu, kalau hilang nyawa, dia sudah berserah,” katanya pada sidang media di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.
Katanya, setiap dua hari sekali anaknya akan menghubunginya dan kali terakhir mereka berhubung malam tadi dan dia turut memaklumkan sindiket berkenaan meminta wang tebusan RM12,000.
“Saya mohon bantuan untuk menyelamat dan membawa pulang anak kembali ke pangkuan kami,” katanya dari Putrajaya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anaknya itu.
Sementara itu, wanita lain dikenali sebagai Madam Rong, 36, turut meminta bantuan menyelamatkan anak tunggalnya berusia 19 tahun yang dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Myanmar.
Menurutnya, anak lelakinya menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand pada 7 Disember lalu sebelum dibawa ke Myanmar melalui jalan darat kerana lapangan terbang di Thailand didakwa terjejas kerana banjir.
“Anak dakwa dia dibawa ke sempadan menggunakan kereta dan apabila tiba di sempadan Myanmar, pemandu itu memukulnya dan memaksa dia mengikutnya ke negara itu. Dia juga beritahu melihat sindiket itu bersama beberapa individu yang memakai baju seperti tentera.
“Di Myanmar, anak dipaksa bekerja untuk sindiket itu dan beritahu dia sering dipukul termasuk menggunakan pistol. Anak selalu merayu untuk diselamatkan kerana sudah tidak tahan berada di sana,” katanya dari Senai, Johor dan sudah membuat laporan polis.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sudah menghubungi beberapa agensi di luar negara bagi membantu menyelamatkan kedua-dua mangsa bersama mangsa lain yang masih terperangkap di negara berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




