Gadis ditikam 61 kali: 4 suspek termasuk wanita warga emas tiba ke mahkamah untuk permohonan reman

Gadis ditikam 61 kali: 4 suspek termasuk wanita warga emas tiba ke mahkamah untuk permohonan reman

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Empat suspek termasuk dua warga emas yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, tengah malam semalam, tiba di mahkamah untuk proses reman.

Kesemua suspek masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita berusia 19 tahun hingga 66 tahun tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, jam 8.40 pagi.

Polis akan mendapatkan proses tahanan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Terdahulu, Polis Kelantan mengesahkan menahan empat individu termasuk seorang wanita warga emas susulan penemuan mayat gadis dengan 61 kesan tikaman di Ketereh tengah malam semalam.

Suspek yang ditahan terdiri daripada dua remaja lelaki dan lelaki warga emas berusia 19 hingga 66 tahun, manakala wanita warga emas berusia 60 tahun.

Kesemua suspek ditahan antara 4 petang semalam sehingga awal pagi hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua mereka ditahan menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Taman Murni, di sini, dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita yang ditemukan di Jalan Ketereh, tengah malam semalam, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top