am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kerajaan Selangor bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bagi memantau aktiviti penternakan lembu liar di ladang SD Guthrie, Sabak Bernam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, ia susulan haiwan yang berkeliaran itu terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya selain menceroboh Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).
Menurutnya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh beliau dan dianggotai Pegawai Daerah Sabak Bernam serta agensi berkaitan.
“Lembu yang dibiarkan bebas ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan, tetapi juga menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Malah, perkara yang sama juga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi lalu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Ketika ditanya berhubung mesyuarat yang diadakan semalam, Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar berkata, SD Guthrie memaklumkan lembu yang berkeliaran dalam kawasannya adalah milik penternak yang menduduki tanah secara tidak sah.
“Pihak ladang sudah mengenal pasti penternak terbabit dan akan mengeluarkan notis rasmi kepada mereka supaya memindahkan haiwan ternakan selewat-lewatnya 31 Januari tahun depan.
“Untuk langkah penyelesaian jangka pendek dua lokasi alternatif sudah dicadangkan untuk menempatkan haiwan ini iaitu Sungai Lang dan Tebuk Jawa.
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula adalah penternak dinasihatkan untuk memohon tanah ‘Temporary Occupation Licence’ (TOL) daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Rizam berkata, Kerajaan Selangor menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh selain menyeru semua pihak supaya memberi kerjasama dalam melaksanakan langkah yang sudah dipersetujui.
“Diharapkan dengan pelaksanaan ini tragedi sama dapat dielakkan dan tidak lagi berulang pada masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




