Kontena 'talian hayat' dah tiba

Kontena 'talian hayat' dah tiba

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kontena ‘talian hayat’ membawa puluhan tan bekalan bantuan khusus kepada rakyat Palestin akhirnya melepasi pelbagai halangan dan sekatan untuk sampai ke bumi Gaza.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, lori kontena membawa bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia tiba ke Gaza pada Ahad lalu selepas melalui perjalanan jauh dari Keherah, Mesir.

Beliau berkata, kontena diurus petugas MCM dan rakan strategik membawa bantuan musim sejuk khusus untuk rakyat Gaza.

‘”Selepas sebulan menunggu dengan penuh debar, warga Muslim Care Malaysia (MCM) mengucap setinggi kesyukuran kepada Allah SWT apabila kontena membawa barangan bantuan musim sejuk untuk rakyat Palestin selamat tiba di Gaza pada 15 Disember 2024.

“Ia berita yang melegakan kerana bukan mudah untuk treler membawa bantuan kemanusiaan dari Kaherah, Mesir sampai dengan selamat ke bumi Gaza yang sehingga kini masih dibom tentera Zionis Israel sejak tercetus Taufan al-Aqsa lebih setahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, ketibaan satu daripada tiga kontena bantuan diterimanya melalui kiriman WhatsApp awal pagi Ahad lalu.

“Syukur Alhamdulillah, ia berita melegakan. Tibanya barangan bantuan ke Gaza bermakna amanah rakyat Malaysia untuk penduduk Gaza dapat kami laksanakan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, satu kontena yang sudah tiba di Gaza itu membawa 1,800 pek lampin pakai buang, 550 kit kebersihan diri, selimut dan payung.

“Ada dua kontena lagi yang belum tiba dan satu daripadanya membawa 100 khemah untuk perlindungan pada musim sejuk sekarang. Kos semua barang itu mencecah RM400,000,” katanya.

Delegasi misi bantuan musim sejuk ke Palestin berlepas ke Mesir pada 9 November 2024 lalu membabitkan 15 individu dengan pelbagai latar belakang termasuk doktor perubatan, ahli akademik dan pakar perbankan.

Kerjasama strategik itu turut disertai Pertubuhan Lestari Ummah, Klinik Syifa’ 24 Jam, Pertubuhan Maktabah Albakri dan Surau Almuhsinin Petronas.

MCM turut menghantar wang tunai berjumlah lebih RM150,000 kepada wakil MCM di Gaza, Abu Ayesh untuk kos pembelian makanan sebelum diagihkan kepada penduduk Gaza.

Zulkifli berkata, pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang boleh disalurkan ke akaun RHB Islamic Bank 26212000004747 atau Maybank 564490211159.

Sebelum ini MCM menyalurkan 5.5 tan daging korban sejuk beku ke Gaza walaupun usaha itu berdepan halangan sejak tiga bulan lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top