Bukit Mertajam : KPJ Healthcare Berhad melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi yang pertama di KPJ Penang Specialist Hospital (KPJ Penang), sekali gus menjadi Pusat Kecemerlangan ketiga di bawah Sistem Kesihatan KPJ (KPJ Health System – KPJHS).
Sebagai sistem kesihatan akademik bersepadu swasta pertama di Malaysia, KPJ terus memperkukuh perkhidmatan penjagaan muskuloskeletal dan sendi khusus menerusi integrasi Amalan Klinikal, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi.
Direka bagi menyokong pengurusan kes-kes kompleks, Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi ini menggabungkan pelbagai subkepakaran ortopedik, reumatologi serta kepakaran multidisiplin seperti rehabilitasi dalam satu model penjagaan yang terselaras.
Dengan menempatkan perkhidmatan konsultasi, pengimejan diagnostik, bilik rawatan dan kemudahan rehabilitasi moden di satu aras, pusat ini menawarkan pengalaman rawatan lebih lancar kepada pesakit bermula daripada proses diagnosis sehingga rehabilitasi dan pemulihan.
Antara perkhidmatan komprehensif yang ditawarkan ialah ortopedik am, pembedahan tulang belakang, artroplasti (penggantian sendi), artroskopi dan pembedahan sukan, pembedahan kaki dan buku lali, pembedahan tangan serta mikropembedahan, ortopedik pediatrik, rawatan trauma dan patah tulang, reumatologi serta perkhidmatan pengurusan kesakitan.
Keupayaan pusat ini dipertingkatkan lagi menerusi penggunaan teknologi pembedahan penggantian sendi robotik berbantukan kecerdasan buatan (AI), sistem navigasi berbantukan komputer serta teknik pembedahan invasif minimum.
Teknologi ini membantu meningkatkan ketepatan pembedahan, memperbaiki mobiliti pesakit serta mempercepatkan pemulihan fungsi anggota.
Kemudahan ini turut disokong dengan program rehabilitasi yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit, termasuk pemulihan selepas pembedahan tulang belakang, kecederaan sukan dan ortopedik pediatrik, selain penggunaan teknologi khusus seperti anti-gravity treadmill.
Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJHS, Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn Bhd dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, hasrat mereka bagi setiap Pusat Kecemerlangan dalam Sistem Kesihatan KPJ, termasuk yang dilancarkan hari ini, bukan sekadar mengekalkan statusnya sebagai sebuah pusat selama-lamanya.
Katanya, mereka mahu ia terus berkembang dengan memperkukuh keupayaan klinikal, akademik dan penyelidikan sehingga akhirnya di naik taraf menjadi sebuah institut yang menjadi rujukan utama dalam bidang klinikalnya.
“Peneraju penyelidikan yang menghasilkan bukti saintifik, melahirkan pemimpin bertaraf nasional dan antarabangsa serta menjadi rakan strategik pilihan industri, institusi akademik dan kerajaan. Itulah maksud sebenar bertaraf dunia.
“Penubuhan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi ini melengkapkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Jantung & Paru-Paru di Johor Specialist Hospital serta Pusat Kecemerlangan Neurosains & Strok di Damansara Specialist Hospital 2.” ujarnya.
Langkah ini mengukuhkan strategi jangka panjang KPJ Healthcare untuk mewujudkan 15 Pusat Kecemerlangan di seluruh negara menjelang tahun 2030 di bawah KPJHS.
Menerusi model hab bersepadu yang diterajui oleh KPJ Penang Specialist Hospital bersama KPJ Selangor Specialist Hospital, pusat ini membolehkan perkongsian kepakaran, piawaian klinikal yang seragam, penyelidikan yang diselaraskan serta kerjasama multidisiplin di seluruh Sistem Kesihatan KPJ.
Pendekatan ini membuktikan bahawa perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus mampu disampaikan melalui satu sistem kesihatan akademik bersepadu.
Pendekatan bersepadu ini juga menjadi platform untuk mempercepatkan penggabungan teknologi kecerdasan buatan (AI), genomik dan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based care) dalam membentuk masa depan penyampaian perkhidmatan kesihatan khusus.
KPJ Penang adalah sebuah hospital tertiari dengan kapasiti 270 katil yang disokong oleh lebih 50 pakar perunding tetap merangkumi lebih 20 bidang kepakaran perubatan.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi ini terus memperkukuh peranan hospital tersebut dalam Sistem Kesihatan KPJ.
Melalui pusat ini, pesakit akan menikmati akses yang lebih luas kepada rawatan ortopedik moden yang terbukti meningkatkan hasil rawatan berdasarkan laporan pesakit serta mengurangkan tempoh kemasukan ke hospital. Melengkapkan lagi keupayaan tersebut, KPJ Penang juga merupakan hospital pertama di Wilayah Utara yang menawarkan perkhidmatan pengurusan luka moden.
Selain itu, dengan kerjasama KPJ Healthcare University, hospital berkenaan sedang membangunkan program tele-rawatan luka jarak jauh berbantukan AI yang pertama di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




