am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penduduk Kampung Sungai Penchala menyokong cadangan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, supaya perkampungan mereka diiktiraf sebagai Kampung Warisan Melayu.
Pengerusi Persatuan Anak Jati Penchala Muharani Mat Junus, 56, berkata, Kampung Sungai Penchala adalah satu-satunya kampung Melayu terakhir yang masih mengekalkan keaslian warisan tradisionalnya sehingga kini.
“Di sini, penduduk kampung masih lagi mengekalkan tradisi seperti kenduri-kendara dan takbir dari rumah ke rumah pada malam raya serta rewang.
“Rumah di kampung ini pun 45 peratus daripadanya masih mengekalkan keasliannya, sama seperti rumah kampung biasa,” katanya ditemui, semalam.
Sebelum ini, Hannah dilapor menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengiktiraf Kampung Sungai Penchala sebagai Kampung Warisan Melayu.
Hannah berkata, kampung itu bukan saja memiliki keunikan daripada segi seni bina tradisional dan budaya, malah menjadi simbol penting warisan komuniti Melayu di Kuala Lumpur.
Katanya, sebagai satu kampung Melayu terakhir di ibu kota, usaha itu penting mengekalkan identiti dan legasinya yang semakin terancam ekoran pembangunan tidak mampan.
Mengulas lanjut, Muharani berkata, Kampung Sungai Penchala bukan sahaja mempunyai warisan masyarakat Melayu, tetapi khazanah negara yang harus dipelihara.
“Kampung ini bukan sekadar tempat tinggal, ia jiwa dan identiti masyarakat Melayu yang tidak ternilai,” katanya.
Penduduk, Kamarul Zameer Rozhan, 36, berkata, dia menyokong cadangan Kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu disebabkan tidak ada lagi kampung Melayu yang tinggal di ibu kota, melainkan Kampung Baru.
“Kalau sebut Kampung Sungai Penchala, ramai yang kenal. Keunikan di sini sehingga orang kenal adalah daripada segi makanan yang dijual.
“Selain Kampung Baru, di sini juga banyak masakan Melayu yang sedap dan kerana itu, ramai orang luar berkunjung untuk menjamu selera.
“Pada masa sama, penduduknya juga berbilang etnik seperti Boyan, Kerinchi dan Minangkabau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




