PM Anwar umum bayaran interim RM1.5 bilion buat Sabah, hak 40 peratus tetap dilaksana

PM Anwar umum bayaran interim RM1.5 bilion buat Sabah, hak 40 peratus tetap dilaksana

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bayaran interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu dimuktamadkan.

Kerajaan komitmen laksana tuntutan yang termaktub

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Anwar menyatakan, kerajaan pimpinannya komited untuk melaksanakan tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kini sedang memperincikan mekanisme pelaksanaannya.

Beliau menjelaskan keputusan dasar berhubung hak 40 peratus itu telah dibuat dan perbincangan ketika ini hanya tertumpu kepada kaedah pelaksanaannya.

“Kerajaan MADANI menetapkan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah adalah dasar yang mesti dilaksanakan. Tiada lagi perbahasan mengenai sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak, sebaliknya yang sedang diperincikan ialah mekanisme serta kaedah pelaksanaannya,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

Rundingan Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri berjalan secara terperinci

Anwar berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang berjalan secara terperinci memandangkan sebarang keputusan berkaitan MA63 mempunyai implikasi terhadap hubungan Persekutuan dan negeri-negeri lain.

Katanya, kerajaan tidak mahu dilihat melengah-lengahkan proses berkenaan, sebaliknya mahu memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab.

“Kerajaan tidak lagi boleh menggunakan alasan berkaitan kekangan kewangan untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah.
“Keputusan sudah dibuat, dan apa yang tinggal hanyalah memuktamadkan formula pelaksanaannya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara sehingga penyelesaian muktamad dicapai.

“Bayaran interim ini bukan penyelesaian akhir, namun ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab kepada Sabah sementara proses rundingan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tolak dakwaan Sabah dianaktiri

Anwar turut menolak dakwaan bahawa Sabah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan menjelaskan pelbagai peruntukan pembangunan dan bantuan terus disalurkan ke negeri itu.

Menurut beliau, hasil yang dikutip daripada Sabah tahun lalu dianggarkan sekitar RM10 bilion, namun jumlah peruntukan pembangunan dan perbelanjaan yang disalurkan semula kepada negeri berkenaan mencecah kira-kira RM17 bilion.

“Ini tidak bermaksud hak Sabah boleh dinafikan, tetapi rakyat perlu melihat fakta secara menyeluruh. Kerajaan tetap komited melaksanakan hak 40 peratus, namun pada masa sama pelbagai bantuan, subsidi dan projek pembangunan terus disalurkan demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.

Sumber: Buletin TV3 (Safwan Sawi)

Scroll to Top