bisnes@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hampir empat daripada 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini berada di landasan mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun, namun sasaran itu perlu dipertingkatkan kepada enam daripada 10 ahli menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu menunjukkan kemajuan dalam usaha memperkukuh kecukupan pendapatan persaraan, namun masih ramai rakyat Malaysia berdepan risiko kehabisan simpanan ketika tempoh persaraan yang boleh berlangsung antara 20 hingga 25 tahun.
Beliau berkata, isu kecukupan persaraan tidak boleh dilihat hanya daripada jumlah simpanan yang berjaya dikumpulkan, sebaliknya turut perlu mengambil kira bagaimana simpanan itu dapat menyediakan pendapatan yang mampan sepanjang tempoh persaraan.
“Persoalannya bukan hanya berapa banyak yang kita kumpulkan, tetapi bagaimana simpanan itu boleh menyokong pendapatan yang boleh diharap sepanjang persaraan,” katanya.
Katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sempena International Social Wellbeing Conference (ISWC) 2026 di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, persediaan untuk tempoh persaraan yang panjang perlu bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik serta keupayaan untuk membuat simpanan secara konsisten.
Sehubungan itu, agenda gaji dan agenda persaraan perlu bergerak seiring bagi memastikan rakyat mempunyai keupayaan membina simpanan untuk jangka panjang.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia perlu berdepan secara jujur dengan realiti semasa apabila semakin ramai rakyat hidup lebih lama, tetapi tidak semua tahun tambahan itu dilalui dalam keadaan kesihatan yang baik.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak yang dilahirkan hari ini boleh hidup sehingga sekitar 84 tahun, manakala jangka hayat sihat adalah kira-kira 75 tahun.
“Ringkasnya, kita menambah tahun kepada kehidupan lebih pantas berbanding menambah kehidupan kepada tahun-tahun itu,” katanya.
Perubahan demografi itu turut memberi kesan kepada keperluan persaraan negara apabila Malaysia sudah menjadi negara menua pada 2021 selepas penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk.
Menjelang 2035, golongan berusia 65 tahun ke atas dijangka membentuk lebih daripada satu daripada 10 rakyat Malaysia, manakala menjelang 2048, satu daripada tujuh rakyat Malaysia akan berada dalam kumpulan umur itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, jutaan rakyat Malaysia bekerja di luar pekerjaan formal konvensional, sedangkan sistem perlindungan sosial negara sebahagian besarnya dibangunkan berasaskan pekerjaan formal.
Katanya, perubahan sifat pekerjaan menyebabkan sistem berkenaan perlu turut berkembang bagi memenuhi realiti tenaga kerja yang berubah.
“Kerajaan juga memberi perhatian kepada aspek penjagaan warga emas, dengan peruntukan RM1.26 bilion bagi kebajikan golongan itu, yang dijangka memberi manfaat kepada 180,000 warga emas, selain memperluas pusat aktiviti bagi mengurangkan pengasingan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, inisiatif KWSP seperti i-Saraan menyediakan laluan berstruktur kepada golongan bekerja sendiri untuk membuat simpanan, disokong insentif kerajaan, manakala i-Saraan Plus diperkukuh untuk pemandu e-hailing dan p-hailing.
Kelayakan i-Suri turut diperluaskan bagi mengiktiraf wanita yang menjalankan kerja penjagaan tanpa gaji, yang menurut beliau turut menyumbang kepada kelangsungan keluarga dan komuniti.
Beliau berkata, keselamatan persaraan juga perlu melihat bagaimana simpanan dapat digunakan secara mampan kerana perbelanjaan terlalu cepat boleh menyebabkan seseorang kehabisan simpanan, manakala perbelanjaan terlalu berhati-hati pula boleh mengehadkan tahun-tahun persaraan yang sudah dirancang.
“Cabaran Malaysia bukan sekadar meningkatkan jumlah simpanan persaraan, tetapi memastikan rakyat mempunyai pendapatan, perlindungan sosial dan sokongan penjagaan yang membolehkan mereka melalui tempoh kehidupan lebih panjang dengan keselamatan kewangan serta maruah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




