am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ibu bapa bertanggungjawab memastikan tempoh masa dihabiskan anak-anak pada skrin gajet bagi kanak-kanak tidak keterlaluan sehingga mengganggu proses kreativiti mereka.
Bagi seorang ibu kepada empat orang anak, Asnita Awang Ariff, 46, berkata, peranti pintar masih mempunyai kelebihan serta sisi positifnya jika ibu bapa bijak menggunakannya.
“Tindakan melarang sepenuhnya penggunaan peranti pintar khususnya untuk anak-anak berusia empat hingga enam tahun disifatkan agak ke belakang.
“Ia berikutan ruang siber menawarkan capaian maklumat yang terlalu banyak. Contohnya, anak-anak saya belajar Bahasa Inggeris dengan melihat kandungan menggunakan peranti pintar.
“Malah untuk mengetahui perkembangan semasa juga, mereka lebih cepat daripada saya kerana gemar melihat kandungan berita di laman sosial,” katanya.
Asnita berkata, dia tidak menafikan bahawa peranti pintar ini tetap mempunyai sisi negatifnya jika ibu bapa tidak cakna dengan tempoh masa skrin anak-anak kecil ini.
“Saya hanya membenarkan anak menggunakan gajet pada hari minggu dan waktu cuti persekolahan sahaja dengan empat jam penggunaan.
“Dua jam pagi dan dua jam pada waktu petang, selepas penggunaan gajet, mereka perlu meluangkan masa dalam pembelajaran, aktiviti sukan atau aktiviti sosial,” katanya kepada Harian Metro.
Mohd Nazri Ab Rahman, 41, pula berkata, penggunaan gajet diberikan kepada anak-anaknya adalah selepas waktu persekolahan dan pada hari minggu.
“Selepas sesi persekolahan, mereka dibenarkan menggunakan gajet atas sebab-sebab tertentu iaitu kegunaan dalam mencari bahan pembelajaran.
“Apabila hari minggu, saya memberikan kelonggaran kepada mereka untuk menggunakan gajet tanpa had waktu, akan tetapi, mereka perlu menunaikan ibadah solat pada waktunya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




