AS serang sasaran Houthi, beberapa jam selepas pemberontak lancar serangan ke Israel

AS serang sasaran Houthi, beberapa jam selepas pemberontak lancar serangan ke Israel

Sanaa: Amerika Syarikat (AS) semalam berkata, ia menyerang sasaran di ibu negara yang dikuasai pemberontak Yaman, beberapa jam selepas peluru berpandu pemberontak Houthi mencederakan orang ramai di Tel Aviv.

Peluru berpandu yang mendarat di Tel Aviv itu mencederakan 16 orang, adalah serangan kedua seumpama itu dalam dua hari.

Sementara itu, sasaran serangan tentera AS kemudian ialah pusat penyimpanan peluru berpandu pemberontak dan “kemudahan arahan dan kawalan,” kata Komando Pusat AS (Centcom) dalam satu kenyataan.

Tentera AS juga menembak jatuh beberapa dron Houthi dan peluru berpandu jelajah antikapal di atas Laut Merah, katanya, sejurus selepas saluran TV Al-Masirah pemberontak melaporkan bahawa “penceroboh” menyasarkan daerah Attan di Sanaa, dan menyalahkan tentera Barat. .

Tentera AS dan United Kingdom berulang kali menyerang sasaran pemberontak di Yaman tahun ini sebagai tindak balas kepada serangan Houthi ke atas perkapalan di perairan kawasan Laut Merah yang penting untuk perdagangan global.

Israel juga sebelum ini menyerang balik, termasuk terhadap pelabuhan dan kemudahan tenaga, selepas serangan pemberontak terhadap wilayahnya.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran mengaku bertanggungjawab atas serangan Sabtu ke atas Israel, mengatakan mereka melancarkan peluru berpandu balistik ke “sasaran tentera musuh Israel”.

Tentera Israel berkata, ia gagal memintas peluru berpandu itu, memaksa ramai penduduk meninggalkan rumah mereka pada waktu lebih awal.

Houthi berulang kali melancarkan peluru berpandu terhadap Israel sebagai solidariti dengan rakyat Palestin sejak perang di Gaza bermula lebih setahun lalu. Kebanyakan daripada peluru berpandu itu dapat dipintas.

“Satu peluru yang dilancarkan dari Yaman dikenal pasti, dan percubaan pemintasan yang tidak berjaya dibuat,” selepas siren amaran dibunyikan, kata tentera Israel di saluran Telegramnya.

Dalam satu kenyataan kemudian, tentera berkata, orang awam Israel “sengaja disasarkan”.

Imej AFP menunjukkan kawah besar di mana peluru berpandu mendarat, dan bilik tidur rumah berdekatan yang rosak.

Polis dengan pantas mengepung kawasan kejiranan berkenaan.

Noa Mosseri, yang pangsapurinya juga rosak, memberitahu AFP dia juga mendengar amaran peluru berpandu.

“Kami sangat bernasib baik kerana kami tidak mempunyai masa untuk sampai ke tempat yang selamat. Dalam beberapa saat berlaku ledakan. Kami berjaya keluar dan kami tidak cedera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top