PETALING JAYA: Jualan tiket Puteri Gunung Ledang The Musical akan dibuka kepada umum bermula 21 Ogos ini menjelang pementasannya di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) di Sunway Square, Sunway City Kuala Lumpur dari 31 Oktober hingga 15 November depan.
Muzikal terbitan Enfiniti dengan kerjasama Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) itu bakal mengembalikan antara produksi pentas paling ikonik negara selepas hampir dua dekad untuk dipersembahkan kepada generasi baharu.
Penerbit Eksekutif Bersama merangkap Pengarah, Tiara Jacquelina berkata, sambutan terhadap pementasan itu amat menggalakkan apabila pihaknya menerima pertanyaan daripada orang ramai sebaik sahaja pengumuman mengenainya dibuat di media sosial.
“Permintaan diterima serta-merta apabila pertanyaan membanjiri Threads, Instagram, TikTok dan talian tiket JCPAC. Malah, beberapa syarikat korporat turut membuat tempahan awal sebelum musim persembahan awam bermula.
“Sudah lapan tahun sejak Enfiniti mementaskan OlaBola The Musical dan saya hampir terlupa debaran menjelang pembukaan sebuah produksi berskala besar. Melihat keterujaan penonton membuatkan kami semakin bersemangat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tiara, pasukan kreatif dan teknikal kini sedang memperhalusi setiap aspek produksi termasuk muzik, koreografi, rekaan pentas, kostum serta kesan khas sebelum latihan penuh bermula pada 17 Ogos ini.
Barisan pelakon tahun ini diterajui Aisha Retno dan Mila Mohsin yang bergilir-gilir membawakan watak Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha memegang watak Hang Tuah. Turut membintangi muzikal itu ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.
“Seluruh pasukan bertekad menghasilkan sebuah produksi yang akan meninggalkan kenangan kepada penonton dan kami tidak sabar untuk membawanya ke pentas,” katanya.
Tempoh tempahan keutamaan selama 72 jam akan dibuka kepada pemegang kad AFFIN bermula pukul 8 malam pada 18 Ogos, sebelum jualan tiket kepada umum bermula pada 21 Ogos.




