Sri Pahang cemas sebelum mara ke separuh akhir Piala Malaysia

Sri Pahang cemas sebelum mara ke separuh akhir Piala Malaysia

sukan@hmetro.com.my

Temerloh: Biarpun seri 3-3, Sri Pahang FC layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perak FC menerusi agregat 4-3 pada suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad menanti sama ada akan berdepan Sabah FC atau Kuching City FC yang beraksi pada suku akhir kedua di Stadium Likas, malam esok.

Pada perlawanan itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi jaringan pemain tengah, Manuel Hidalgo selepas menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Haziq Nadzli seawal minit kelima.

Namun, pelawat tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan hasil sentuhan kapten pasukan, Wan Zack Haikal Wan Nor selepas menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Azfar Arif Mohd Sukri pada minit kesembilan.

Pada minit ke-30, Hidalgo menjaringkan gol kedua buat Sri Pahang selepas pengadil perlawanan, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman memberikan penalti apabila seorang pemain tuan rumah dikasari dalam kotak penalti.

Pada minit ke-41, Jesper Nyholm kembali menyamakan kedudukan 2-2 buat Perak sebelum Hidalgo sekali lagi muncul penjaring yang juga hatrik selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, pemain gantian, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil menjaringkan gol penyamaan 3-3 pada minit ke-54.

Selepas itu, pelawat yang ketinggalan 3-4 menerusi agregat berusaha untuk menambah jaringan tetapi dinafikan pertahanan tuan rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top