Afiq pemenang utama Liga M Awards, raih MVP buat kali pertama

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail muncul sebagai pemenang utama Liga M Awards 2025-2026 apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis anugerah malam ini.

Kemenangan itu cukup istimewa buat Afiq apabila ia adalah kali pertama buat dirinya bagi meraih anugerah MVP sepanjang karier sebagai pemain bola sepak, sekali gus melengkapkan malam gemilangnya pada edisi Liga M Awards kali ini.

Sebelum ini, Afiq terlebih dahulu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, menjadikan dua pengiktirafan itu sebagai pencapaian paling besar buat pemain tengah JDT itu dalam satu malam.

Lebih menarik, kejayaan Afiq sebagai MVP hadir selepas empat edisi berturut-turut anugerah berkenaan menjadi milik rakan sepasukannya di JDT, Arif Aiman Hanapi.

Arif Aiman sebelum ini mencipta rekod apabila memenangi anugerah MVP selama empat tahun berturut-turut, sekali gus menjadikan edisi kali ini sebagai lembaran baharu apabila Afiq mengambil alih pengiktirafan paling berprestij itu.

Kemenangan Afiq juga mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain paling konsisten dalam saingan Liga Malaysia musim 2025-2026.

Peranannya sebagai penggerak utama di bahagian tengah JDT menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan pasukan sepanjang musim.

Anugerah Liga M Awards kali ini turut melalui proses pemilihan yang cukup ketat bagi memastikan setiap pengiktirafan diberikan berdasarkan prestasi paling konsisten sepanjang musim.

Bermula daripada senarai awal 10 calon, hanya tiga nama bagi setiap kategori dipilih untuk ke peringkat akhir menerusi undian yang membabitkan 13 ketua jurulatih, 13 ketua pasukan Liga Malaysia 2025-2026 serta 13 wakil media.

Melalui format baharu Liga M Awards, penilaian pula merangkumi kesemua perlawanan rasmi dalam kalendar Liga Malaysia musim 2025-2026.

Ia termasuk baki saingan Liga Super, perlawanan piala domestik serta Perlawanan Akhir Piala Malaysia yang menjadi kemuncak musim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top