Dua rakan serumah dicekup bersekongkol edar dadah

Dua rakan serumah dicekup bersekongkol edar dadah

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Taktik sindiket pengedaran dadah membungkus serbuk ekstasi dalam sampul seakan-akan mata wang asing terbongkar dengan penangkapan dua lelaki tempatan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menahan suspek berusia 33 tahun ketika sedang mengisi angin tayar Perodua Myvi di stesen minyak di Taman Pelangi, di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah pada suspek dan dalam kereta berkenaan.

Katanya, pihaknya kemudian melakukan serbuan di rumah sewa suspek disusuli tangkapan seorang lagi suspek berusia 40 tahun yang juga rakan serumahnya.

“Sindiket ini aktif sejak Oktober lalu dengan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pembungkusan, manakala kereta dijadikan untuk menyimpan dadah sebelum mengedarnya ke pasaran terutama di kelab-kelab malam.

“Mereka juga mengubah suai kaedah pembungkusan dadah ini dengan menggunakan sampul seakan-akan berbentuk duit. Satu bungkus ini dijual antara RM150 hingga RM200,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini.

Menurut Raub, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 1,246.50 gram disyaki serbuk ekstasi, 25.1 gram disyaki pil erimin 5 dan 3.8 gram disyaki ketamin yang kesemuanya bernilai RM210,721.60

Katanya, polis turut menyita wang tunai RM120, sebuah Perodua Myvi serta anak kunci menjadikan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM235,841.60.

“Kita masih menyiasat sumber bekalan dadah diperolehi, namun percaya ia dari dalam negeri ini selain mengesan dalang serta ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan ketamin, manakala semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 28 Disember ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top