saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Lantiklah jurulatih terbaik di dunia pun kalau pemain tak mahu belajar daripada jurulatih itu, tak guna juga.”
Demikian pandangan bekas legenda beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek berhubung calon pengganti kepada jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen, yang akan meninggalkan kem badminton negara pada 13 Januari depan.
Jelas Jalani, untuk mencari pengganti Bin Shen sememangnya sukar, terutama sekali dalam usaha mendapatkan keserasian antara seorang jurulatih dan pemain.
Ketika ini beberapa nama sudah dikaitkan dengan jawatan berkenaan, termasuklah bekas pakar beregu Denmark, Mathias Boe yang pernah menjadi jurulatih di bawah Persatuan Badminton India (BAI).
“Pada saya, apa yang penting bagi seorang jurulatih adalah perlu ada keserasian antaranya dengan pemain serta mempunyai modul latihan yang membolehkan seseorang pemain itu muncul juara.
“Siapa saja yang akan menggantikan tempat Bin Shen, persoalan utama adakah pemain mahu berlatih di bawah bimbingan jurulatih baharu itu.
“Kalau kita lihat Boe dapat meningkatkan prestasi pemain India. Walaupun ketika sebagai pemain dia (Boe) tidaklah ‘top’, tetapi pemain nampak selesa di bawah bimbingannya,” katanya ketika dihubungi.
Jalani merujuk kepada kejayaan jurulatih berusia 44 tahun itu yang memainkan peranan penting dalam kejayaan beregu utama lelaki India, Chirag Shetty dan Satwiksairaj Rankireddy.
Di bawah bimbingannya, pasangan ini berjaya menghuni ranking nombor satu dunia serta meraih gelaran juara Asia, Komanwel dan Sukan Asia.
Jelas Jalani, Bin Shen sudah membuktikan bahawa dirinya boleh bekerjasama dengan barisan pemain negara sepanjang empat tahun membimbing skuad kebangsaan, malah bekas pemain negara itu juga seorang yang sangat bekerja keras.
“Kalau tanya saya, bagus untuk kekalkan Bin Shen sebab pemain sudah selesa dengannya. Mungkin dia juga menerima tawaran lebih baik selain mahu mendapatkan pengalaman baharu,” katanya.
Ketua jurulatih Hong Kong, Wong Choong Hann sebelum ini dilaporkan mengesahkan bahawa Bin Shen akan menyertai pasukan badminton Hong Kong bermula Februari ini.
Tugasan terakhir Bin Shen bersama skuad kebangsaaan adalah di Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 7 hingga 12 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




