'Kena ada syak wasangka sebelum laksana urus niaga' – Persatuan Pengguna Siber Malaysia

'Kena ada syak wasangka sebelum laksana urus niaga' – Persatuan Pengguna Siber Malaysia

khariril.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengguna seharusnya mempunyai kesedaran berkait pembelian barangan dalam talian disebabkan kebanyakan kes penipuan berlaku di pasaran itu.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, pengguna seharusnya mempunyai syak wasangka sebelum melakukan urus niaga.

“Kena ada syak wasangka dahulu sebelum melaksanakan satu urus niaga dalam talian. Tugas scammer ini dia nak meyakinkan orang. Dia akan berusaha 1,001 cara supaya orang percaya dia merupakan peniaga betul.

“Tetapi kita sebagai pengguna kena lebih bijak dan sentiasa kemaskini dengan potensi ‘scam’,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak RM62 juta nilai kerugian direkodkan akibat penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang sehingga 15 Disember lalu.

Ramli berkata, angka itu dijangka terus meningkat menjelang akhir Disember ini serta tahun akan datang selaras pertambahan platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masa kini.

Mengulas lanjut, Siraj berpandangan, adalah tidak adil menyalahkan kepada penyedia platform sepenuhnya mengenai penipuan pembelian dalam talian.

Bagaimanapun katanya, platform media sosial seharusnya bertanggungjawab dalam membantu penguatkuasa bagi mendapatkan maklumataktiviti scam.

“Itu tugas penguatkuasa memudahkan urusan mereka dengan kerjasama yang sepatutnya bersama penyedia platform.

“Dari satu sudut lain adalah kita nak platform media sosial itu menggunakan teknologi untuk membendung akaun palsu atau mencurigakan dalam platform mereka kerana kebiasaannya scammer ini akan menggunakan akaun palsu,” katanya.

Selain itu katanya, penyedia platform media sosial juga perlu mewujudkan kesedaran kepada pengguna seperti dilakukan oleh sektor perbankan di negara ini melalui laman web atau aplikasi mereka.

“Dalam platform media sosial, mungkin perlu ada kesedaran di pelbagai peringkat dalam platform itu sendiri khususnya melibatkan pasaran.

“Biasanya kebanyakan jurujual itulah punca pembiaya itu kena scam. Di situ mekanisme yang perlu dibentuk oleh platform media sosial supaya kesedaran itu sentiasa akan tercetus apabila mereka nak berurus niaga,” katanya.

Facebook jadi platform kes tipu e-dagang tertinggi – PDRM

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top