KUALA LUMPUR: Tugas mengawal sempadan negara kini bukan sahaja terletak pada tanggungjawab anggota keselamatan semata-mata, sebaliknya turut digalas oleh robot bernama Tuah.
Lebih membanggakan, robot yang dikategorikan sebagai kenderaan darat tanpa pemandu (UGV) itu mampu menjaga sempadan negara daripada diceroboh dan kegiatan penyeludupan.
Jurutera mekanikal automotif Deftech, Nor Hazwani Mohd Yusof berkata, Tuah yang dihasilkan syarikat DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dengan hasil kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan UGV pertama yang dihasilkan di Malaysia.
“Tuah juga berpotensi menjadi sistem persenjataan ke kawasan berbahaya tanpa memerlukan penglibatan manusia secara langsung dengan dilengkapi senjata mesingan berat 12.7 milimeter (MM),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam DSA & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di MITEC semalam.
Menurut Nor Hazwani lagi, Tuah adalah kenderaan autonomi yang tidak memerlukan internet dan menggunakan elektrik, selain boleh mencecah kelajuan hingga 40 kilometer per jam (km/j) serta 100 km/j sekiranya menggunakan alat kawalan jauh.
“Perisian yang dibangunkan oleh UMPSA ini boleh mengenali tindak-tanduk atau mengesan pergerakan lalu memaklumkan kepada pusat arahan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (ITC) UMPSA, Prof. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria berkata, peperangan yang berlaku di dunia sebelum ini membuktikkan aset moden sangat penting.
“Robot tidak semestinya besar, kita kena terus mengikuti teknologi. Antara yang UMPSA pentingkan adalah kedaulatan teknologi itu sendiri, di mana kita perlu mempunyai kepakaran tempatan untuk membangunkan teknologi yang kita boleh gunakan untuk keselamatan negara kita,” katanya.
Beliau berkata, kedaulatan teknologi penting kerana ia akan memastikan maklumat sulit negara tidak terlepas ke pihak luar terutama musuh.
“Jika kita bergantung kepada teknologi luar negara, di mana data itu dapat diambil dan kita tidak tahu bagaimana dengan proses data itu disimpan. Adakah disimpan di dalam Malaysia atau luar negara?
“Apabila kita bangunkan menggunakan server di dalam Malaysia, makmal kita jadi kita boleh kawal dan setakat mana tahap keselamatan yang kita nak. Jadi data yang sulit akan berada di dalam negara, ini penting untuk keselamatan kita,” katanya. – UTUSAN




