Southampton: Pengurus baharu Southampton, Ivan Juric, tekad membawa pasukannya keluar daripada zon penyingkiran dengan gaya permainan berintensiti tinggi yang diibaratkan seperti ‘muzik death metal’.
Juric, bekas pemain tengah Croatia yang menandatangani kontrak 18 bulan pada Sabtu lalu, pernah menjadi jurulatih AS Roma sebelum dipecat pada November selepas hanya 12 perlawanan.
“Ketika muda, saya minat muzik ‘death metal’, dan saya rasa gaya bola sepak saya macam itu,” kata Juric kepada wartawan pada Isnin.
“Kerja keras, tekan habis-habisan, main dengan baik, penuh intensiti – itu semua yang saya mahu. Saya rasa para pemain mampu melakukannya. Mereka muda, positif, dan mahu bekerja keras. Memang sukar untuk ubah gaya permainan serta-merta, tapi kita perlu bijak.”
Southampton kini menghuni tangga tercorot liga dengan hanya enam mata daripada 17 perlawanan.
Mereka tidak pernah menang dalam tujuh perlawanan liga terakhir dan ketinggalan lapan mata daripada zon selamat.
“Saya tahu ini tugas yang sangat sukar dan dalam sejarah, tiada pasukan pernah kekal di Liga Perdana Inggeris dari situasi seperti ini,” akui Juric yang berusia 49 tahun.
Namun, beliau tetap yakin pasukannya mampu mencipta sesuatu yang luar biasa.
Perlawanan pertama Juric sebagai pengurus akan berlangsung pada Khamis, apabila Southampton menerima kunjungan West Ham United.
© New Straits Times Press (M) Bhd




