rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Jenazah lima sekeluarga tiba di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, Bangi di sini, sebentar tadi.
Jenazah pasangan suami isteri, anak, menantu lelaki dan seorang cucu itu yang dibawa menaiki empat van jenazah, tiba pada 5.45 petang.
Kenderaan berkenaan diiringi kenderaan polis dan disambut seluruh sanak-saudara dan kenalan yang sudah menunggu di surau seawal 2 petang tadi.
Jenazah lima sekeluarga itu kemudian dibawa masuk ke dalam surau untuk penghormatan terakhir.
Kira-kira 400 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara dan kenalan kemudiannya menunaikan solat jenazah.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Terdahulu, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama isteri Fadzlenna Ramli, 32; dan anak mereka, Muhammad Umar, 2; maut dalam kemalangan di Kilometer 204, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Alor Gajah, semalam.
Turut terkorban adalah ibu bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Manakala dua lagi anak Khairul Ikhwan iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni dan Nur Sofea Humaira berusia tujuh dan empat tahun cedera menerima rawatan di Hospital Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




