Rahsia Slot dalam kocek Van Nistelrooy

Rahsia Slot dalam kocek Van Nistelrooy

London: Pengurus Leicester City, Ruud van Nistelrooy kekal positif selepas dua kekalahan berturut-turut dialami anak buahnya baru-baru ini.

Bekas penyerang Manchester United itu memenangi perlawanan pertamanya sebagai pengurus Leicester menentang West Ham awal bulan ini, namun dua perlawanan terakhir Leicester berakhir dengan kekalahan 0-4 kepada Newcastle dan 0-3 di tangan Wolves.

Bercakap menjelang perlawanan Hari Boxing menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, Van Nistelrooy berkata: “Jika kita menilai setiap minggu dengan terlalu ghairah, itu bukan cara kerja seorang profesional.

“Media dan peminat akan memberi reaksi seperti itu, tetapi kami tahu kami berada di sini untuk jangka masa panjang, dan kami tahu garis penamat adalah di penghujung musim. Itu adalah gambaran yang lebih besar bagi saya.”

Pengurus berusia 48 tahun dari Belanda itu menambah: “Saya tidak akan mencipta drama setiap minggu. Saya juga tidak akan meraikan setiap minggu.

“Kami tahu ia akan menjadi musim yang panjang, di mana kami akan bertarung sehingga ke akhirnya untuk menunjukkan bahawa kami layak bermain dalam liga ini.”

Liverpool berada dalam prestasi cemerlang di bawah pengurus, Arne Slot, yang mengambil alih tugas di Anfield selepas Jurgen Klopp mengundurkan diri pada akhir musim lalu.

Van Nistelrooy sangat menyedari kualiti rakan senegaranya itu, selepas pernah bertembung dengan Slot ketika kedua-duanya mengendalikan kelab Eredivisie.

“Sudah jelas siapa kuasa dominan dalam perlawanan ini,” kata Van Nistelrooy.

“Saya tahu bagaimana Arne mahu pasukannya bermain. Dia terus mendapat rentak yang betul. Mereka juga menjadi kuasa dominan dalam Liga Juara-Juara. Rekod mereka luar biasa.

“Kami perlu bersedia untuk menghadapi segala cabaran yang menanti. Kami juga perlu bersedia untuk beraksi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top