Am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kehangatan Karnival Jom Heboh (KJH) Sabah 2024 semakin terasa.
Tinjauan wartawan mendapati walaupun acara serta aktiviti secara rasmi hanya bermula 27 hingga 29 Disember namun tapak karnival sudah mula menarik perhatian warga bandar raya serta penduduk kawasan berhampiran.
Berlangsung di Kompleks Sukan Likas selama tiga hari, orang awam dilihat mula meninjau tapak karnival selain merakamkan gambar kenangan di backdrop KJH Sabah.
Lebih mengujakan, pengunjung KJH Sabah kali ini juga boleh mengunjungi pelbagai reruai makanan popular yang dibuka pada Sabah Mega Food Fest.
Kali terakhir KJH menjengah Negeri Di Bawah Bayu pada 2019, Sabah adalah lokasi ketujuh sekaligus sebagai penutup penganjuran acara padang ikonik terbabit.
Dalam pada itu, disenaraikan sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’ oleh The Malaysia Book of Records, orang awam yang berkunjung ke KJH Sabah berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama artis mahupun personaliti popular Media Prima di Studio Tonton Drama Sangat.
Selain itu, antara aktiviti menyeronokkan yang boleh disertai pengunjung termasuklah Buletin Challenge, pertandingan mewarna, dan sesi bersama maskot comel.
Reruai jualan oleh jenama popular seperti F&N, Marigold, dan 4Fingers menjanjikan tawaran menarik.
Tidak ketinggalan, perkhidmatan seperti KWSP, Affin Bank dan U-Mobile turut hadir dengan promosi eksklusif buat pengunjung yang hadir.
Malam pertama, Jom Lokal Jam menampilkan bakat-bakat tempatan yang memukau, diikuti malam kedua dan ketiga menampilkan Konsert Jom Heboh bersama artis terkenal termasuk persembahan istimewa oleh alumni One In A Million pada malam kedua.
Sementara itu, Pengarah Projek Karnival Jom Heboh, Eileen Lim berkata, sepanjang tiga hari KJH Sabah akan menjadi medan pertemuan komuniti dengan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.
“Sabah sentiasa menjadi destinasi istimewa buat kami.
“Kembalinya KJH ke sini adalah penghargaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang sentiasa memberi sokongan padu.
“Kami berharap karnival ini menjadi platform yang mengukuhkan lagi semangat kebersamaan dan ukhuwah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



