am@hmetro.com.my
Melaka: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan membantu serta membiayai pengurusan jenazah dua penuntutnya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 187.6 Lebuhraya Utara-Selatan, hari ini.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, sehingga petang ini, pihaknya bersama beberapa pihak termasuk pasukan perubatan di Hospital Jasin sedang menguruskan beberapa prosedur sebelum menghantar jenazah ke kampung mereka untuk dikebumikan.
“UTeM mengambil tanggungjawab dengan bertindak menguruskan urusan yang berkaitan sejurus mendapat maklumat mengenai kemalangan berkenaan sejak pagi tadi.
“Sehingga petang ini, pihak UTeM sedang bertungkus-lumus menguruskan kedua-dua jenazah berkenaan di Hospital Jasin yang perlu melalui proses ‘pos-mortem‘ terlebih dahulu dan apabila semuanya selesai, maka kami akan menggerakkan proses penghantaran kedua-dua jenazah pelajar ke kampung halaman mereka di Muadzam Shah, Pahang dan Gemencheh, Negeri Sembilan bagi urusan pengebumian.
“Pihak pengurusan dan seluruh warga UTeM berdukacita menerima perkhabaran ini dan mengucapkan salam takziah kepada ibu bapa serta ahli keluarga pelajar terbabit,” katanya.
UTeM juga sedang menguruskan pampasan insurans kematian dan sumbangan daripada Tabung Khairat Pelajar UTeM kepada keluarga kedua-dua penuntut terbabit.
Ketika ini, kedua-dua jenazah sedang menjalani bedah siasat di Hospital Jasin.
Dalam kejadian pagi tadi, dua lagi penuntut UTeM, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20 serta Azwalidiya Azman, 21, cedera apabila kereta dinaiki mangsa terbabas lalu merempuh besi penghadang.
‘Apakan daya, saya tak dapat tunaikan permintaannya yang pergi buat selama-lamanya’
2 maut, 2 cedera kemalangan disahkan penuntut UTeM – Polis
© New Straits Times Press (M) Bhd




