Mancini nafi wujud 'tangan ghaib'

Mancini nafi wujud  'tangan ghaib'

Riyadh: Roberto Mancini menafikan dakwaan bahawa beliau berhadapan masalah campur tangan ketika memegang jawatan sebagai pengurus pasukan kebangsaan Arab Saudi.

Pengurus berusia 60 tahun itu meninggalkan jawatannya pada 24 Oktober lalu, kira-kira 14 bulan selepas menggantikan Herve Renard, yang kini mengetuai pasukan di Kejohanan Teluk Arab yang berlangsung di Kuwait.

Di bawah Mancini, Arab Saudi tersingkir dari Piala Asia pada pusingan 16 pasukan terbaik selepas kalah dalam penentuan sepakan penalti kepada Korea Selatan awal tahun ini.

“Saya ingin katakan ini untuk kali terakhir, sepanjang kerjaya saya, langsung tidak ada campur tangan dalam pemilihan pemain dan saya berpuas hati dengan pengalaman dan kerja saya di Arab Saudi.

“Beberapa media sepatutnya memberi tumpuan kepada pasukan mereka sendiri dan berhenti menyebarkan khabar angin mengenai saya dan pasukan kebangsaan Saudi,” tulis Mancini di platform media sosial X.

Arab Saudi yang dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Fifa 2034, kini berada di tempat kedua dalam Kumpulan B Kejohanan Teluk Arab dengan tiga mata iaitu tiga mata di belakang pendahulu Bahrain yang sudah layak ke separuh akhir dengan satu perlawanan berbaki.

Pasukan kebangsaan Arab Saudi akan menentang Iraq yang berada di tempat ketiga, juga dengan tiga mata, dalam perlawanan terakhir pusingan robin untuk merebut tempat ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top