Isu kenaikan tarif elektrik, PM 'campur tangan'

Isu kenaikan tarif elektrik, PM 'campur tangan'

am@hmetro.com.my

Langkawi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil kira beban hidup ditanggung majoriti rakyat negara ini sebelum melaksanakan kenaikan tarif elektrik.

Menurutnya, sebarang keputusan dibuat tidak boleh mengabaikan nasib masyarakat bawahan yang sedang berhadapan dengan pelbagai kesukaran susulan peningkatan kos sara hidup,

“Mengenai pengumuman TNB (kenaikan tarif elektrik) saya sudah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga menteri bertanggung jawab (perkara itu) untuk meminta TNB beri penjelasan.

“Kita tidak benarkan kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan orang ramai, kenaikan sepertimana dulu hanya membabitkan golongan ‘maha kaya’ atau industri yang mencatat keuntungan,” katanya pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hana Kuah, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas pengumuman TNB untuk melaksanakan tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai depan.

Anwar menegaskan, walaupun ada keperluan TNB untuk menaikkan tarif elektrik susulan kenaikan kos, tetapi beban hidup yang ditanggung kebanyakan rakyat perlu diambil kira dan menjadi keutamaan.

“Walaupun saya faham kos meningkat, namun ianya tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat kerana ini menjadi dasar kita,” katanya.

Semalam media melaporkan, bermula 1 Julai 2025 ini, tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia akan meningkat 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Pelarasan naik daripada kadar semasa 39.95 sem/kWj ini adalah hasil penelitian yang dicapai pada rangka kerja kawal selia sektor kuasa kelak.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, sebarang percanggahan dalam kadar dari Januari hingga Jun 2025 akan dilindungi oleh Kumpulan Wang Industri Elektrik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top