Paris: Bersaing untuk mencuri perhatian orang ramai yang menyaksikan persembahan Jennifer Lopez atau dikenali sebagai J-Lo bukan sesuatu yang mudah. Namun, pada satu resepsi di India, baru-baru ini, tetamu turut tertumpu pada kek perkahwinan.
Kek bertingkat tinggi yang menjulang beberapa meter dan diinspirasikan daripada seni bina Rajasthan itu menjadi topik perbualan dalam kalangan tetamu, serta mendapat liputan meluas media dalam majlis mewah dihadiri 500 tetamu pada November lalu.
Pereka kek itu ialah cef pastri selebriti Perancis, Bastien Blanc-Tailleur, yang menghasilkan karya seumpama haute couture dalam dunia fesyen. Ia unik, buatan tangan dan memerlukan pelaburan masa serta kos luar biasa.
“Kami jarang menerima tempahan majlis perkahwinan dengan bajet kurang daripada 1 juta euro (RM4.5 juta),” kata lelaki berusia 34 tahun itu kepada AFP di studionya di sini sambil dikelilingi lima arca boleh dimakan terbaharunya.
Majlis perkahwinan pewaris bilionair Netra Mantena dan usahawan teknologi, Vamsi Gadiraju di Udaipur pada November lalu, dilaporkan menelan belanja sekitar AS$6.7 juta (kira-kira RM25.51 juta) dengan J-Lo dikatakan menerima bayaran AS$2 juta (kira-kira RM7.91 juta) untuk persembahannya.
Blanc-Tailleur enggan mendedahkan harga sebenar kek itu, sekadar menyatakan bahawa kek tempahan khas paling asas bermula dari 20,000 euro (RM92,960), manakala rekaan eksklusif boleh mencecah beberapa kali ganda daripada itu.
Tempahan dari India itu membabitkan lima kek keseluruhannya membabitkan karya utama dihiasi orkid menjalar, gajah dan pavilion berkubah menggunakan pes gula putih. Selain itu, dua kek tambahan untuk keluarga, dan dua kek lagi diturunkan dari siling. Keseluruhannya dianggarkan memerlukan 3,500 jam untuk disiapkan.
“Kami mungkin sudah mencapai had maksimum kemampuan kami. Ini antara projek yang paling saya banggakan,” katanya.
Seni kek oleh Blanc-Tailleur, menarik perhatian pelanggan kaya dari seluruh dunia. Golongan diraja Timur Tengah, pewaris kaya Amerika dan aristokrat Eropah bersaing mendapatkan khidmatnya yang terhad dengan hanya 10 kakitangan sepenuh masa. Beliau hanya mampu menghasilkan sekitar 20 hingga 25 kek setahun.
Serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari yang mencetuskan konflik serantau di kebanyakan kawasan Timur Tengah turut menjejaskan perancangan pelanggan.
“Banyak majlis perkahwinan ditangguhkan ke tahun depan atau tahun berikutnya. Beberapa pelanggan yang merancang berkahwin di Israel, Lubnan atau Arab Saudi kini memilih untuk berkahwin di Perancis,” katanya.
Dalam tempoh lapan tahun sejak memulakan perniagaan, beliau turut berdepan cabaran lain seperti pandemik Covid-19 antara 2020-2021 serta kesukaran logistik menghantar dan menyiapkan kek di lokasi mewah seperti istana dan hotel eksklusif.
Masalah logistik di acara di India pada November lalu memaksanya mendapatkan bekalan telur dan mentega pada saat akhir.
“Sehingga saat-saat akhir, kami tidak pasti dapat menyiapkan projek ini dengan sempurna,” katanya.
Dalam satu kejadian lain, seorang pegawai kastam di Arab Saudi membuka kotak khas pelindung kek tetapi gagal menutupnya semula dengan betul menyebabkan kerosakan pada lapisan aising.
Blanc-Tailleur memulakan kerjaya sebagai perantis bakeri sebelum meningkat ke jawatan pengurusan dapur di hotel ternama Four Seasons Hotel George V di Paris serta bekerja bersama cef terkenal Perancis, Yannick Alléno.
Dengan beban kerja intensif dan perjalanan antarabangsa, beliau menghadiri kebanyakan majlis pelanggan menyebabkan Blanc-Tailleur hampir tiada masa untuk diri sendiri.
“Saya sudah bertunang selama empat tahun,” katanya yang turut mengakui masih belum menetapkan tarikh perkahwinannya sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




