Penanaman kelapa perlu digiatkan

Penanaman kelapa perlu digiatkan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Penanaman kelapa dalam negara perlu dipergiatkan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan kelapa dari negara luar yang menyebabkan peningkatan harga di pasaran khususnya produk santan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penanam kelapa di Malaysia ketika ini diharapkan berusaha supaya hasil mereka lebih tinggi untuk memenuhi permintaan tempatan, terutamanya pada musim perayaan.

“Kelapa, sekarang ini perlu ditanam dengan lebih banyak kerana kita tahu negara yang eksport kelapa kepada kita, mereka juga hadapi (situasi) kegunaan dalam negeri mereka. Maka kita kena banyak menanam kelapa untuk mencukupkan (permintaan).

“Sekarang harga santan agak tinggi dan kita akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina kemudian Ramadan dan Aidilfitri yang berturut-turut. Jadi kita harap penanam-penam kelapa yang ada sekarang ni berusaha supaya hasil mereka lebih tinggi untuk memenuhi permintaan tempatan,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Kata Mohamad lagi, bagi langkah jangka pendek menampung keperluan kelapa, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah diarah berunding bagi meningkatkan pembelian kelapa daripada negara luar khususnya Indonesia.

“Sementara bagi langkah jangka panjang, kita menggalakkan penanaman kelapa dan hasilnya sudah banyak pengusaha baharu sekarang menyedari bahawa penanaman kelapa adalah suatu perkara yang menguntungkan.

“Walaupun memang kita tahu di Malaysi ini masih agak rendah kadarnya bagi orang-orang berada hendak melaburkan wang dalam pertanian dibandingkan dengan negara-negara lain, namun kita terus memberi galakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top