am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Kelantan kepada pemilik dan pengusaha premis makanan serta minuman untuk pembaharuan lesen perniagaan tidak akan membebankan.
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata, ini berikutan pemilik premis diberi tempoh yang cukup termasuk menghadiri kursus dan taklimat.
Katanya, pelaksanaan syarat memiliki sijil halal (pembaharuan lesen) juga tidak dilakukan terburu-buru.
“Ia dijalankan secara berperingkat kerana setakat ini hanya Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkannya. Sijil halal hanya tertumpu di premis makanan dan minuman di bawah MPKB-BRI sahaja.
“Pengesahan halal adalah suatu pendidikan kepada rakyat untuk lebih menjaga kualiti makanan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, SPHM juga tidak terpakai kepada premis khas untuk bukan Islam, tetapi hanya akan dikenakan sekiranya premis berkenaan turut menjual produk kepada pelanggan Muslim.
“Hidangan Bak Kut Teh, Char Siu dan Siu Yuk (khinzir panggang) boleh terus dijual di kesemua premis bukan Islam untuk pelanggan bukan Muslim tanpa perlu miliki SPHM pun. Tiada pertikaian sebenarnya dalam isu ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki SPHM sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Susulan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menganggap tindakan itu mengatasi bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain bertentangan pegangan Kerajaan Pusat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




