am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan untuk menggalakkan kerjasama antara China dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) ketika Malaysia bersiap sedia menyandang jawatan pengerusi Asean pada 1 Januari depan.
Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual dengan China Central Television (CCTV) di Beijing, dengan beliau menegaskan akan mengutamakan kerjasama yang berkesan (prioritise effective collaboration) bagi mengukuhkan perpaduan di rantau ini.
“Sudah tentu antara fokus kita untuk Asean termasuk kestabilan politik, kerjasama berkesan antara negara serta menangani isu yang agak tidak menentu atau dipertikaikan,” katanya dipetik dalam Buletin Utama TV3.
Beliau juga berkata, Malaysia akan meletakkan keterangkuman dan kemampanan di barisan hadapan kepengerusian Aseannya.
Pada Oktober lalu, dilaporkan pemimpin China dan negara-negara Asean mengumumkan penyelesaian penting bagi rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) China-Asean Versi 3.0 pada Sidang Kemuncak China-Asean ke-27.
Anwar berkata, inisiatif ini dijangka membuka jalan bagi salah satu kawasan perdagangan bebas yang paling padat penduduk dan kukuh di dunia untuk memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan pembangunan serantau di tengah-tengah meningkatnya perlindungan global.
Beliau berkata, Malaysia sudah mempercepatkan usaha untuk mempromosikan tandatangan protokol peningkatan 3.0 dan kerjasama antara China dan negara-negara Asean.
“Kami kini telah mempercepatkan proses itu. Mesyuarat antara pegawai-pegawai sedang berlangsung.
“Kami sangat yakin dapat memantapkan pemahaman itu tahun depan,” katanya.
Katanya, selain Asean, Malaysia juga penyelaras negara antara Asean dan China.
“Oleh itu, kami akan melakukan apa yang diperlukan, bukan sahaja untuk memudahkan tetapi juga mempercepatkan proses ini. Saya sangat optimis,” katanya yang dipetik dalam wawancara di Beijing, China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




