London: Jody Morris percaya Moises Caicedo adalah pemain terbaik Chelsea mengatasi Cole Palmer musim ini menjelang perlawanan liga seterusnya mentang Ipswich Town.
Pemain antarabangsa Ecuador itu, yang dibeli dari Brighton dengan rekod perpindahan Britain bernilai £115 juta (RM646.41 juta) tahun lalu, mengalami kesukaran pada musim pertama di Chelsea di bawah Mauricio Pochettino.
Bagaimanapun, Caicedo menunjukkan peningkatan ketara selepas kedatangan Enzo Maresca dan pemain berusia 23 tahun itu membuktikan dirinya sebagai figura penting dalam sistem pengurus Itali itu.
Bekas pembantu pengurus Chelsea, Morris, percaya Caicedo adalah salah seorang daripada dua pemain tengah terbaik dalam Liga Perdana (EPL) musim ini bersama Ryan Gravenberch dari Liverpool.
“Jika kita bercakap mengenai pasukan terbaik musim ini, mereka berdua (Caicedo dan Ryan Gravenberch) bermain lebih baik daripada sesiapa pun.
“Caicedo bermain lebih baik daripada Cole Palmer tahun ini.
“Saya beritahu anda, dia lebih baik daripada Cole Palmer di Chelsea. Jika kita bercakap mengenai pasukan terbaik musim ini, siapa yang bermain lebih baik daripada Caicedo?
“Saya hanya melihat prestasi sebenar, saya belum pernah melihat Caicedo bermain dengan teruk,” kata Morris dalam rancangan Rio Ferdinand Presents.
Morris juga percaya bahawa Chelsea perlu mendapatkan seorang lagi pertahanan tengah yang berpengalaman untuk meningkatkan harapan mereka meraih gelaran di bawah Maresca.
“Saya rasa kami memerlukan seorang pertahanan tengah yang berpengalaman dan bertaraf dunia,” kata Morris.
© New Straits Times Press (M) Bhd




