Jose Mourinho kembali ke Real Madrid

Jose Mourinho kembali ke Real Madrid

Madrid: Real Madrid melantik Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih baharu menerusi kontrak tiga tahun dalam usaha mengembalikan kestabilan pasukan serta menamatkan kemarau trofi yang berlarutan sejak dua musim lalu.

Kelab gergasi Sepanyol itu mengumumkan Mourinho akan memulakan tugasnya pada 13 Julai depan, serentak dengan permulaan sesi pramusim pasukan.

Mourinho bukanlah wajah asing di Santiago Bernabeu selepas pernah mengendalikan Real Madrid dari 2010 hingga 2013 dan membantu pasukan itu menjuarai La Liga musim 2011-12 dengan rekod 100 mata.

Bagaimanapun, jurulatih Portugal berusia 63 tahun itu belum pernah memenangi gelaran liga domestik sejak meninggalkan Real Madrid lebih sedekad lalu.

Pelantikan Mourinho dibuat susulan musim mengecewakan Real Madrid yang menyaksikan seteru utama, Barcelona, mengesahkan kejuaraan La Liga menerusi kemenangan 2-0 dalam aksi El Clasico.

Kekalahan itu menjadi lebih perit apabila ia menentukan kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 94 tahun menerusi pertemuan langsung antara dua musuh tradisi berkenaan.

Juara Liga Juara-Juara sebanyak 15 kali itu juga gagal melepasi peringkat suku akhir dalam dua musim terakhir, sekali gus mendorong presiden kelab, Florentino Perez, mengambil langkah drastik bagi mengembalikan kegemilangan pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top