am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan banjir melanda beberapa kampung di daerah ini, memaksa penduduk, termasuk keluarga yang sudah berpindah tiga kali sebelum ini, untuk sekali lagi meninggalkan rumah mereka.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan apabila paras air di kawasan terjejas terus meningkat, dengan rumah di kawasan rendah mula tenggelam sedalam dua meter.
Wan Amirul Wan Zuki, 29, dari Kampung Pasir Dula, berkata, keluarganya antara mangsa terawal yang terpaksa berpindah akibat limpahan air dari Sungai Deru dan Sungai Telemong, kira-kira 5 petang tadi.
Menurutnya, ada keluarga yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balairaya Kampung Pasir Dula, ada juga menumpang ke rumah saudara.
“Tahun ini empat kali kami sekeluarga terpaksa berpindah (kerana banjir). Sekiranya hujan tidak berterusan, maka paras air akan mula surut dan begitulah sebaliknya.
“Namun, pengalaman yang ada membuatkan kami sentiasa berjaga-jaga. Bimbang paras air naik mendadak sekiranya berlaku kepala air dan sikap sentiasa berwaspada amat perlu memandangkan rumah saya terdedah kepada bencana alam itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Fatimah Deraman, 52, berkata, dia mengambil langkah awal berpindah ke rumah saudara yang terletak di kampung berhampiran.
“Bagi mengelak kesulitan, saya pindah lebih awal kerana rumah sudah ditenggelami banjir sedalam dua meter, dan saya berharap hujan kali ini tidak berterusan.
“Sudah lumrah setiap tahun tiga hingga empat kali saya sekeluarga akan berpindah akibat banjir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

