Bercanggah bukti forensik! Pelajar tingkatan lima tak digilis kenderaan dipandu polis – Peguam

Bercanggah bukti forensik! Pelajar tingkatan lima tak digilis kenderaan dipandu polis – Peguam

Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, tidak digilis kenderaan dipandu pegawai kanan polis, DSP Mohd Nazri Abdul Razak, seperti didakwa beberapa saksi.

Peguam M. Athimulan berkata, teori bahawa mangsa “digilis” bercanggah dengan bukti forensik dan perubatan yang dikemukakan secara objektif.

Menurutnya, pakar patologi forensik mengesahkan kecederaan dialami mangsa tidak konsisten dengan keadaan seseorang yang digilis kenderaan kerana tiada tulang remuk, organ hancur atau kesan tayar pada badan mahupun pakaian mangsa.

“Yang Arif, kami dengan hormatnya berhujah bahawa bukti perubatan ini adalah fakta saintifik dan objektif serta tidak terdedah kepada kelemahan persepsi manusia. Ia secara langsung menyangkal dakwaan saksi.
“Pihak kami berhujah bahawa sekiranya keterangan saksi bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh pakar perubatan maka keterangan mereka tidak boleh dipercayai,” katanya ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Bercanggah bukti forensik! Pelajar tingkatan lima tak digilis kenderaan dipandu polis – Peguam

Mohd Nazri, 46, berdepan pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dihukum mati.

Athimulan berkata, ketiadaan kesan tayar pada pakaian dan tubuh mangsa menyokong hujah pembelaan bahawa kejadian itu merupakan satu tragedi apabila mangsa “tercampak” dari motosikal selepas berlaku perlanggaran, bukannya sengaja digilis.

Beliau turut berkata kecederaan mangsa adalah konsisten dengan kesan terjatuh di atas jalan raya.

“Keterangan saksi itu telah terjejas akibat persepsi terhadap kejadian traumatik dan dipengaruhi impak media sosial,” katanya.

Dalam hujahnya, Athimulan turut membangkitkan kegagalan mengemukakan data “kotak hitam” kenderaan Perodua Ativa yang didakwa penting bagi membina semula kejadian serta menentukan mens rea atau niat jahat di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

Artikel lain: Isteri pelaku mohon maaf – “Suami memang panas baran, tak boleh dengar orang rem motor”

“Tanpa data kotak hitam itu, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan sama ada tertuduh cuba membrek, melencongkan kenderaan atau cuba mengelakkan perlanggaran serta sama ada kelajuan kenderaan konsisten dengan keadaan hilang kawalan dan bukannya tindakan yang disengajakan.
“Yang Arif, kami berhujah bahawa perkara-perkara ini bukanlah lompang kecil dalam kes pendakwaan, sebaliknya ia adalah asas yang menjadi teras kepada teori pihak pendakwaan mengenai niat jahat kerana pertuduhan terhadap tertuduh ialah kesalahan paling serius di bawah Kanun Keseksaan, iaitu melakukan pembunuhan melalui tindakan sengaja menggunakan kenderaan,” katanya.

Athimulan yang dibantu peguam Datuk Mior Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan menyambung hujah pembelaan esok.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dengan dibantu Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey.

Sumber: Harian Metro 

Scroll to Top