Washington: Satu varian Covid-19 dari Amerika Syarikat (AS) semakin menular di England, dengan peningkatan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mendedahkan bahawa kadar keputusan positif di hospital meningkat daripada 5.9 peratus kepada tujuh peratus pada bulan lalu.
Kemasukan ke hospital juga meningkat hampir 50 peratus dengan wilayah London mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 79 peratus.
Lebih separuh daripada kes positif membabitkan varian daripada strain ‘Stratus’, yang digelar sebagai ‘Covid Amerika’.
Golongan yang berisiko tinggi terhadap virus itu digesa untuk mendapatkan vaksin.
Ia termasuk individu berusia 75 tahun, penghuni rumah penjagaan warga emas dan mereka yang mengalami masalah sistem imun lemah atau imunosupresi.
Pakar perunding epidemiologi di UKHSA, Alex Allen, berkata, walaupun bilangan individu dijangkiti Covid-19 menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini, jumlah kes di UK masih berada pada tahap yang rendah.
“UKHSA sedang memantau semua data berkaitan varian Covid-19 di UK dan luar negara, dan kami terus menerbitkan dapatan kami dalam laporan pemantauan berkala,” katanya.
Satu rawatan universal untuk selesema biasa, influenza dan Covid sedang dibangunkan di AS.
Pakar menyatakan bahawa semburan hidung yang ringkas boleh membantu meningkatkan daya tahan tubuh terhadap virus pernafasan, bakteria dan pencetus alahan.
Walaupun kajian yang diterbitkan dalam jurnal Sains itu dijalankan ke atas tikus, penyelidik menyatakan ia menunjukkan hasil yang meyakinkan untuk manusia.
Selain koronavirus, suntikan yang dibangunkan oleh pakar Stanford Medicine itu juga berkesan terhadap jangkitan kulit ‘staph’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




