saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Menjelang 1 Januari setiap tahun, hampir keseluruhan negeri mengisytiharkan cuti umum selama sehari dan kebanyakan pejabat serta jabatan kerajaan tidak akan beroperasi.
Bagaimanapun, tidak semua negeri terbabit kerana lima daripada 14 negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis memilih untuk tidak mengisytiharkannya sebagai cuti umum.
Ini memandangkan lima negeri berkenaan terkait rapat dengan tradisi dan budaya yang dilaksanakan sekali gus membentuk jadual cuti umum yang berlainan dengan negeri-negeri lain.
Umpamanya di Kelantan dan Terengganu, ia tidak meraikan sambutan Tahun Baharu secara rasmi kerana negeri berkenaan lebih cenderung meraikan hari kebesaran yang terkait dengan agama Islam.
Malah cuti hujung minggu kedua-dua negeri itu adalah hari Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan rakyatnya untuk menunaikan solat Jumaat tanpa halangan.
Begitu juga, Kedah, Johor dan Perlis lebih lebih menumpukan perhatian kepada acara keagamaan dan adat resam Melayu berbanding acara yang bersifat universal.
Bagaimanapun, sambutan Tahun Baharu di sesetengah bandar kecil disambut secara sederhana sebagai cara untuk turut sama merasai malam ambang tahun baru walaupun akan bekerja keesokan harinya.
Justeru, bagi mereka yang masih ragu-ragu mengenai cuti umum pada 1 Januari, anda digalakkan untuk mendapatkan pengesahan daripada majikan bagi mengelakkan kekeliruan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




