Melaka tubuh tabung khas pesakit buah pinggang

Melaka tubuh tabung khas pesakit buah pinggang

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Penyediaan peruntukan RM100,000 bagi Tabung Bantuan Dialisis Melaka seperti yang diluluskan dalam Bajet Melaka 2025 akan meringankan beban pesakit, khususnya golongan B40 untuk mendapatkan rawatan berkala.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, langkah itu adalah sebahagian inisiatif Program Kesihatan Awam bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.

“Kerajaan negeri ini menubuhkan satu tabung khas untuk pesakit buah pinggang yang tidak mendapat bantuan daripada mana-mana agensi bagi memulakan rawatan di pusat kesihatan di negeri ini.

“Bantuan secara one-off itu juga mampu mengurangkan beban pesakit terbabit, khususnya berkaitan dengan kewangan untuk mendapatkan rawatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Peruntukan berkenaan adalah sebahagian inisiatif Program Kesihatan Awam yang dibentangkan Ab Rauf dalam Bajet Melaka 2025 pada Jumaat lalu dan diluluskan semalam bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.

Menerusi program berkenaan, kerajaan negeri pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu menyediakan peruntukan RM3 juta untuk pelbagai program kesihatan awam, termasuk menambah Saringan Kesihatan Jantung dalam Program MBio Sihat.

Selain itu, Program Mesra Ambulans untuk pesakit terlantar B40 bagi temu janji kemasukan wad serta temu janji menggunakan fasiliti kemudahan kesihatan kerajaan seperti Pusat Rehabilitasi Perkeso yang sudah mendapatkan rujukan doktor di hospital kerajaan juga akan diteruskan.

Pada masa sama, program Peluang Kedua: Back to Community juga akan diselaraskan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain Program Jom Sihat yang merangkumi intervensi bersama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan melestarikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan memberi diskaun pendaftaran 50 peratus bermula tahun depan.

Katanya, turut diberi perhatian adalah guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di bawah JAIM.

“Mulai 2025, kerajaan negeri berbesar hati memberi kemudahan cuti bersalin kepada guru wanita yang berkaitan dengan syarat yang akan diperhalusi oleh JAIM.

“Bukan itu sahaja, bagi membantu ibu bapa dan penjaga, kerajaan negeri bersetuju membiayai sebahagian yuran pendaftaran di Tabika JAIM melalui Insentif Pelajar Tabika JAIM sebanyak RM100 kepada setiap pelajar yang akan memberi manfaat kepada 3,600 pelajar membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM360,000,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top