Alasan 'klise' bila anak ditahan JPJ

Alasan 'klise' bila anak ditahan JPJ

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: ‘Anak bawa motosikal tanpa pengetahuan ibu bapa’.

Itu antara alasan paling popular digunakan oleh ibu bapa ketika anak remaja bawah umur mereka ditahan kerana menunggang tanpa lesen.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kesalahan tidak memiliki lesen memandu adalah tertinggi dicatatkan sepanjang Operasi Khas Motosikal yang dijalankan sejak 1 November hingga hari ini.

“Ibu bapa sewajarnya memastikan anak masing-masing menggunakan kenderaan dengan kaedah yang betul termasuk mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah serta perlindungan insurans.

“Sebanyak 134,718 notis dikeluarkan terhadap penunggang manakala sitaan melibatkan 3,668 motosikal terdiri daripada pelbagai kesalahan.

“Operasi sama juga turut menyaring seramai 561 penunggang motosikal dan mendapati 66 daripadanya positif dadah,” katanya pada sidang media penutup Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Awan Besar di sini.

Menurutnya, 319 penunggang motosikal bawah umur ditahan sepanjang operasi khas itu kerana tidak memiliki lesen.

Katanya mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan yang dipandu oleh seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja di bawah umur memandu kenderaan motor tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 39, Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Ibu bapa juga perlu mengambil berat dengan memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan cukai jalan.

“Semua pengguna terutamanya penunggang motosikal diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top