Solbakken hormat Ancelotti, tapi mahu menang

Solbakken hormat Ancelotti, tapi mahu menang

Vancouver: Jurulatih Norway, Stale Solbakken, memberi penghormatan kepada pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia antara kedua-dua pasukan pada Isnin ini, sambil menjelaskan bahawa video di bilik persalinan yang menunjukkan beliau ‘memanggil’ jurulatih Itali itu sebenarnya hanya gurauan yang disalah tafsir.

Rakaman video yang diterbitkan oleh Persekutuan Bola Sepak Norway itu memaparkan ucapan bersemangat Solbakken kepada barisan pemain selepas kemenangan 2-1 ke atas Ivory Coast, yang berakhir dengan kata-kata “Carlo Ancelotti, kami datang untuk kamu!”

“Bagi saya, ia langsung bukan satu provokasi. Dia mungkin antara jurulatih terbaik dalam sejarah bola sepak Eropah, bersama Pep Guardiola, Jose Mourinho dan beberapa nama lain dari sudut sejarah,” kata Solbakken kepada media.

“Saya sangat menghormatinya. Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali ketika bersama FC Copenhagen apabila menentang Chelsea dan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara. Dia seorang yang hebat, sangat berjenaka, dan kami amat menghormatinya, begitu juga Brazil sebagai sebuah negara.

“Saya rasa mereka boleh melihat ia sebagai gurauan, bukan sesuatu yang serius,” katanya lagi.

Solbakken pernah menjadi sebahagian skuad Norway yang menewaskan Brazil pada peringkat kumpulan Piala Dunia 1998, namun beliau menganggap ia sudah terlalu lama untuk memberi kesan kepada pertemuan kali ini.

“Saya rasa Brazil kini semakin menemui rentak, semakin baik dan mempunyai pemain berkualiti di semua posisi. Kami teruja dengan cabaran ini,” katanya.

“Brazil sudah tentu pilihan utama dan antara calon untuk menjuarai kejohanan ini. Namun kini takdir mempertemukan kami dengan mereka, jadi kami perlu memberikan aksi terbaik” katanya.

Dikuasakan oleh jaringan Erling Haaland, Norway menerima pujian selepas berjaya mara daripada kumpulan dan mencatat kemenangan pertama dalam aksi kalah mati Piala Dunia dengan menewaskan Ivory Coast.

“Kami berharap dapat memberikan tentangan sengit. Kami bukan bermain untuk berseronok. Kami bermain untuk menang dan mara ke suku akhir,” kata Solbakken.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top