Langkawi sasar 3.5 juta pelancong sempena TMK 2025

Langkawi sasar 3.5 juta pelancong sempena TMK 2025

am@hmetro.com.my

Langkawi: Kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 yang bermula hari ini, diyakini dapat membantu menarik 3.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa melawat pulau ini.

Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah berkata, berbekalkan promosi bersepadu TMK 2025 dan penganjuran acara pelancongan berskala besar, sasaran itu bukan ‘angan-angan mat jenin’.

“Kita menyasarkan 3.5 juta pelancong mengunjungi pulau ini sepanjang tahun ini, sekali gus membantu kerajaan negeri mencapai sasaran tujuh juta pelancong melawat Kedah sempena TMK 2025.

“Buktinya, pada hari pertama tahun baru, hari ini, Langkawi menerima 4,000 pelancong menerusi 27 penerbangan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai acara menyambut 170 penumpang penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Langkawi yang juga pelancong sulung sempena TMK 2025 yang tiba di LTAL, pada jam 8.15 pagi.

Mohamad Subhi berkata, acara sambutan sama turut diadakan awal pagi hari ini di dua pintu masuk lain ke Langkawi iaitu Terminal Penumpang Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung di sini.

“Walaupun ringkas, tapi sambutan yang dilakukan dalam suasana mesra sambil petugas menyerahkan cenderahati pasti meninggalkan kenangan manis kepada setiap pelancong yang tiba,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Suhaimi Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Shamsilah Siru dan Pengurus LTAL, Che Sulaiman Che Pa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top