am@hmetro.com.my
Muar: Wang simpanan berjumlah RM89,000 milik seorang pesara lelaki lesap begitu sahaja selepas menjadi mangsa penipuan berkaitan tuntutan insurans yang tidak wujud.
Kejadian bermula apabila mangsa berusia 60 tahun menerima panggilan daripada individu kononnya mewakili syarikat insurans dan menyatakan dia mempunyai tuntutan polisi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata warga emas terbabit menafikan mengenai tuntutan itu sebaliknya diminta oleh suspek untuk membuat laporan polis.
Menurutnya, panggilan itu kemudiannya disambung kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
“Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan ‘pegawai polis’ dia terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.
“Tidak lama kemudian, mangsa menerima mesej menerusi WhatsApp daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah dan boleh membantu menyelesaikan masalah itu.
“Pada 4 Disember lalu, mangsa diminta ke sebuah bank di daerah ini untuk menukar maklumat perbankan dalam talian melalui mesin ATM,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pada masa sama, mangsa diminta memindahkan semua wang simpanan miliknya berjumlah RM89,000 selain diarahkan membayar wang jaminan berjumlah RM38,000.
Jelasnya, mangsa curiga dan segera membuat semakan dalam akaun namun terkejut apabila hanya berbaki RM98.67.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar semalam untuk tindakan lanjut.
“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




