puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza gagal menahan sebak apabila mengakui tidak pasti sama ada masih berpeluang menganjurkan konsert tradisional berskala besar selepas Konsert Tradisional Gema Bumantara.
Penganjuran konsert mega pada 17 Oktober depan disifatkan sebagai antara detik paling bersejarah sepanjang penglibatannya dalam perjalanan seni selama lebih tiga dekad.
“Saya memang cakap dengan Kak Zie (Rozie), konsert ini kena ada Kak Ani (Noraniza Idris). Kita kena jemput Kak Ani.
“Saya gembira dan maaf saya sebak kerana saya tidak tahu bila lagi boleh buat konsert tradisional terbesar seperti ini.
“Saya nak mereka yang hebat ini, terutama pejuang irama tradisional, boleh ada bersama-sama,” kata Siti ketika ditemui pada sidang media pengumuman penyanyi undangan konsert berkenaan yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.
Menurut penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini, persembahan lagu ikonik Hati Kama tidak akan lengkap sekiranya tidak digandingkan semula bersama Noraniza.
“Tidak lengkaplah kalau tiada Kak Ani. Saya tahu peminat memang rindukan persembahan Hati Kama versi asal.
“Sebab itu saya cakap dengan Kak Zie, kita jemput Kak Ani. Saya gembira sangat ia menjadi kenyataan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, hasrat murni Siti turut mengundang emosi buat Noraniza yang menyifatkan jemputan berkenaan sebagai satu penghormatan besar.
“Saya sebenarnya seram nak menyanyi dengan Siti Nurhaliza.”Sebab sudah 25 tahun kami tidak menyanyikan lagu Hati Kama secara duet, apatah lagi dalam sebuah konsert besar dengan iringan orkestra. Jadi saya sangat takut.”Saya rasa sangat kecil di sisi Siti Nurhaliza,” katanya lagi.
Untuk rekod, lagu Hati Kama adalah karya popular yang pernah dimuatkan dalam album kolaborasi terkemuka mereka, Seri Balas yang diterbitkan pada 1999.
Selain Noraniza, konsert yang bakal menggegarkan TM Stadium Nasional Bukit Jalil itu turut menampilkan penyanyi generasi muda, Haziq Rosebi serta membariskan dua bintang tersohor dari negara jiran Indonesia iaitu King Nassar dan Lesti Kejora.
© New Straits Times Press (M) Bhd




