Iga pacu kemenangan Poland

Iga pacu kemenangan Poland

Sydney: Poland memastikan tempat di separuh akhir kejohanan berpasukan campuran Piala United untuk tahun ketiga berturut-turut selepas kemenangan sengit dalam acara perseorangan memberikan mereka kelebihan 2-0 ke atas Britain.

Iga Swiatek menjadi penentu kemenangan selepas pertarungan sengit menentang Katie Boulter, menang 6-7(4), 6-1, 6-4 di Ken Rosewall Arena.

Kemenangan itu menempah pertemuan Poland dengan Kazakhstan di separuh akhir, menjelang Terbuka Australia pada 12-26 Januari.

“Saya sangat letih,” kata Iga selepas perlawanan hampir tiga jam itu.

“Saya gembira dapat menang, jadi saya tidak perlu bermain acara beregu campuran. Perlawanan ini benar-benar gila, terlalu banyak perubahan momentum.”

Iga, pemain nombor dua dunia, memulakan set pertama dengan kelebihan 4-1 tetapi kehilangan peluang itu apabila Katie bangkit dengan penuh inspirasi untuk memenangi set pembukaan dalam masa 74 minit.

Namun, Iga bangkit semula dengan dominasi penuh dalam set kedua dan mengatasi isu kecederaan di kaki kanan untuk mengalahkan Katie dalam set penentuan.

“Saya fikir saya menguasai perlawanan di set pertama, tetapi saya jadi gugup. Saya tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama dalam set ketiga, jadi saya ambil empat pil tahan sakit,” ujar Iga.

“Banyak yang sakit, tetapi saya gembira dapat menang, dan saya pasti perlukan hari rehat esok.

“Kalau mereka sediakan ruang untuk saya baring di bangku pasukan, saya akan ambil kesempatan untuk tidur sebentar … Saya rasa lebih baik saya terus ke bilik persalinan dan pengsan.”

Dengan persembahan Iga yang penuh semangat, Poland kini berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan Piala United sambil menunjukkan kekuatan mereka menjelang Terbuka Australia yang akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top