Budapest: Juara Olimpik tertua di dunia, Agnes Keleti meninggal dunia pada usia 103 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir kelmarin di sebuah hospital di Budapest, menurut pegawai medianya, Tamas Roth, yang mengesahkan laporan dari akhbar sukan tempatan, Nemzeti Sport.
Agnes dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat radang paru-paru.
“Kami berdoa untuknya, dia memiliki semangat yang sangat kuat,” kata anak lelakinya, Rafael Biro-Keleti, kepada media tempatan ketika itu.
Kisah hidup Agnes, termasuk meraih kegemilangan di Olimpik, ibarat jalan cerita filem Hollywood yang penuh inspirasi, dengan semangatnya yang tidak pernah luntur walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
Sebagai gimnas paling berjaya dari Hungary, beliau memenangi 10 pingat di Olimpik, kesemuanya selepas berusia 30 tahun dan perlu bersaing dengan lawan yang jauh lebih muda.
Ia termasuk lima pingat emas di Helsinki (1952) dan Melbourne (1956).
Motivasi Agnes untuk bersukan bukanlah untuk mengejar kegemilangan, tetapi untuk berpeluang mengembara ke luar negara, ketika Hungary diperintah komunis.
“Saya bertanding bukan kerana saya menyukainya, tetapi kerana saya mahu melihat dunia,” katanya kepada AFP pada 2016.
Dilahirkan pada 9 Januari 1921 di Budapest sebagai Agnes Klein, beliau kemudian menukar nama keluarganya kepada Keleti, yang lebih berbunyi Hungary.
© New Straits Times Press (M) Bhd
