am@hmetro.com.my
Kuantan: Kerugian lebih RM280,000 ditanggung 13 pekebun sayur fertigasi di Ulu Dong, Raub selepas projek tanaman mereka ditenggelami banjir Disember tahun lalu.
Pekebun kerugian antara RM3,000 hingga RM80,000 selepas beg semaian tanaman antaranya seperti timun, terung dan cili fertigasi musnah dibawa arus deras banjir yang berlaku beberapa jam selepas hujan lebat.
Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, arus air yang deras membawa bersama beg semaian yang digantung, terdapat beberapa kes tiang para tumbang menyebabkan beg semaian jatuh dan hanyut.
Katanya, 13 pekebun sudah menyerahkan borang bancian kerosakan disebabkan banjir kepada Pejabat Pertanian Daerah Raub dalam tempoh dua minggu selepas banjir berlaku.
“Lawatan ke kebun yang musnah turut dilakukan oleh pegawai pertanian bagi menilai kemusnahan ditanggung.
“Jabatan mendapati daerah Raub mencatat jumlah tertinggi kemusnahan kebun sayur disebabkan bencana banjir akhir tahun lalu. Walaupun banjir hanya sekejap namun arus deras menyebabkan banyak kerosakan berlaku,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Raub, Raja Mohamad Farhan Hashim mengesahkan kebun sayur di Mukim Gali, Dong dan Ulu Dong terjejas selepas ditenggelami banjir bersama air yang deras.
Katanya, terdapat lebih 1,000 pekebun mengusahakan pelbagai tanaman sayur di daerah ini, seperti timun, terung, cili, peria dan kacang panjang sama ada fertigasi atau atas tanah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




