196 etnik Rohingya mendarat di Langkawi selepas 10 hari belayar

196 etnik Rohingya mendarat di Langkawi selepas 10 hari belayar

am@hmetro.com.my

Langkawi: Seramai 196 etnik Rohingya dari Myanmar yang mendarat di Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat di sini, awal pagi hari ini, belayar selama 10 hari sebelum bot dinaiki mereka terkandas di perairan negara.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan pendaratan pendatang asing tanpa izin (Pati) itu jam 3.25 pagi.

“Mereka terdiri daripada 68 lelaki dewasa, 57 wanita dewasa, 32 kanak-kanak lelaki dan 39 kanak-kanak perempuan, dipercayai berlepas dengan bot dari Myanmar kira-kira 10 hari lalu.

“Kesemua tangkapan sudah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi, untuk proses dokumentasi,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Shariman berkata, saringan kesihatan juga sudah dijalankan ke atas oleh Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi.

“Polis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang pantas memberikan maklumat mengenai kemasukan warganegara asing ini.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang mengawasi perairan negara, susulan maklumat dua lagi bot membawa pelarian Myanmar menghala ke Langkawi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top