Gajah Borneo cedera parah di belalai dikesan di Kalabakan

Gajah Borneo cedera parah di belalai dikesan di Kalabakan

olivia@nst.com.my

Kalabakan: Seekor lagi gajah Borneo dikesan mengalami kecederaan ketara pada bahagian belalai.

Kes terbaru itu mendapat perhatian orang ramai susulan penularan video di media sosial yang memaparkan seekor gajah dengan kecederaan jelas pada belalai, dipercayai berada di kawasan Felda Kalabakan Selatan.

Susulan aduan diterima minggu lalu, operasi pencarian dan pemantauan di lapangan dijalankan pada 13 dan 14 Mei lalu dalam usaha mengesan haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, gajah itu gagal ditemui sepanjang operasi berlangsung.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau bimbang dengan situasi itu susulan kejadian seekor gajah jantan yang mati dalam keadaan tragis dengan gadingnya hilang di Tongod, Sandakan baru-baru ini.

“Maklum balas awal daripada pasukan veterinar menunjukkan bahawa kecederaan yang membabitkan belalai adalah sangat kompleks.

“Pakar veterinar juga menasihatkan bahawa usaha menyelamat membabitkan proses yang jauh lebih rumit daripada sekadar rawatan luka segera.

“Pada peringkat ini, keadaan gajah itu berdasarkan video) tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan teruk yang boleh mengancam kelangsungan hidupnya secara serta-merta. Oleh itu, intervensi veterinar masih belum diperlukan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya pasukan penyelamat berjaya mengesan gajah yang cedera itu, intervensi lanjutan mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tisu yang rosak atau membina semula otot belalai yang koyak.

“Prosedur itu juga perlu diikuti dengan penjagaan pasca-pembedahan yang rapi, rawatan harian, pengurusan pemakanan, penyediaan ruang kurungan sementara, serta pemantauan berterusan selama satu hingga dua minggu.

“Sekiranya prosedur pembinaan semula atau penyambungan semula (belalai) dipertimbangkan, kebarangkalian untuk pulih sepenuhnya dan mengembalikan fungsi normal belalai adalah sangat tipis,” katanya.

Jafry berkata, tindakan lanjut bergantung kepada sebarang maklumat baru, penampakan terbaru, atau laporan tambahan yang diterima dari lapangan.

Mengenai punca sebenar kecederaan itu, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Walaupun jerat salah satu kemungkinan yang sedang dinilai, ia masih belum disahkan sebagai punca utama. Pihak berkuasa juga sedang mempertimbangkan kemungkinan lain, termasuk kecederaan yang disebabkan oleh objek tajam,” katanya.

Beliau berkata, antara kemungkinan yang sedang diperiksa adalah secara tidak sengaja terkena alat menuai yang digunakan di ladang kelapa sawit, terutamanya jika peralatan itu tertinggal atau tersangkut di dalam blok perladangan.

“Gajah Borneo adalah salah satu spesies hidupan liar ikonik Sabah dan bahagian penting dalam warisan alam sekitar kita.

“Dianggarkan terdapat sekitar 1,500 hingga 2,000 ekor gajah yang mendiami Sabah ketika ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top