am@hmetro.com.my
Putrajaya: Orang ramai dilarang berhimpun di Istana Kehakiman di sini, esok khususnya bagi Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata,
perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran, sekali gus tidak mematuhi syarat termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyertai himpunan yang melanggar undang-undang.
“Polis juga akan mengadakan beberapa sekatan jalan raya di laluan masuk ke pusat pentadbiran dan membuat pemeriksaan ketat ke atas semua individu yang memasuki kawasan Putrajaya esok.
“Ia bagi memastikan tiada senjata, kain rentang dan sepanduk mengandungi perkataan atau berunsur jelik berupa hasutan dibawa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya, esok.
Semalam, beliau dilapor berkata, permohonan penganjuran himpunan itu yang diterima pada 31 Dis lalu, ditolak kerana tidak memenuhi syarat dan keputusan sudah dimaklum kepada penganjuran pada Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
