am@hmetro.com.my
Putrajaya: Orang ramai dilarang untuk hadir ke Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, di sini, esok.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah, sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Menurutnya, polis akan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang menyertai perhimpunan itu kerana ia melanggar undang-undang.
Katanya, polis juga akan mengadakan beberapa sekatan jalan raya di jalan-jalan masuk ke pusat pentadbiran di sini, serta membuat pemeriksaan ke atas semua individu yang akan memasuki kawasan Putrajaya esok.
“Ia bagi memastikan tiada senjata, kain rentang dan sepanduk mengandungi perkataan atau berunsur jelik berupa hasutan berhubung dengan perhimpunan itu,” katanya pada kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, 456 pegawai dan anggota akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya esok.
Tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd

