redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: “Waktu potong rambut mereka, saya jadi sebak sampai menangis kerana terbayang wajah emak dan arwah ayah.
“Tapi saya bersyukur kerana pada hari yang baik ini, saya diberi peluang untuk menyantuni dan membantu warga emas di sini,” kata pempengaruh, Mohd Muzakir atau dikenali Diva M yang menawarkan khidmat gunting rambut percuma buat kira-kira 40 warga emas juga penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras.
Diva M, 37, yang juga pengusaha sebuah salun berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat menawarkan khidmat berkenaan dan bersyukur kerana impiannya itu tercapai sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.
Menurut Diva M, dia tidak berseorangan melakukan kerja amal itu sebaliknya membawa bersama 15 kakitangan untuk membantu menggunting rambut penghuni termasuk yang terlantar.
“Saya sudah rancang mengadakan program amal ini sejak dua minggu lalu dan pilih tarikh ini sempena sambutan Maulidur Rasul. Niat sudah lama ada dan Allah SWT yang gerakkan serta izinkan semuanya.
“Ini kali pertama saya anjurkan program amal potong rambut dan pilih RSK Cheras kerana melihat penghuninya yang terdiri daripada berbilang kaum.
“Satu pengalaman baharu buat saya kerana sebelum ini pernah potong rambut arwah ayah, malah masih bantu potong rambut emak sampai sekarang. Kali ini dapat bantu warga emas yang lain pula,” katanya kepada Harian Metro.
Dia turut berterima kasih kepada pihak pengurusan RSK Cheras kerana memberi kesempatan untuknya dan kakitangan menyantuni penghuni pusat itu.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada RSK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana beri kerjasama.
“Mungkin orang di luar sana nampak ia perkara biasa tapi bagi saya, peluang ini sangat berharga kerana dapat gunakan kelebihan saya (menggunting rambut) untuk membantu penghuni di sini.
“Saya sanggup tutup salun hari ini untuk luangkan masa dengan penghuni dan harap apa dilakukan dapat menjadi saham akhirat juga buat saya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan lagi program sama pada masa akan datang.
Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat RSK Cheras, Muhammad Asyraf Muhamad Kefri menghargai kesudian Diva M menyantuni sekali gus melihat kehidupan sebenar penghuni.
“Kami di sini terharu dengan usaha Diva M dalam menganjurkan program ini. Kalau boleh, teruskan lagi pada masa akan datang.
“Sebelum ini, ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang menyantuni penghuni menerusi khidmat memotong kuku dan gotong royong. Aktiviti lain pula adalah senaman ringan bersesuaian penghuni yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


